Pembantu perubatan lebih baik dari doktor asing
KUALA TERENGGANU 12
Ogos - Prestasi majoriti doktor asing yang berkhidmat di
hospital-hospital kerajaan di seluruh negara tidak memuaskan dan
sebaliknya ada di kalangan pembantu perubatan kanan tempatan lebih baik
daripada mereka.
Lebih memeranjatkan kata Timbalan Menteri
Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, taraf kepakaran doktor-doktor
asing itu juga lebih rendah daripada doktor junior tempatan.
Sehubungan
itu, beliau menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengkaji
semula cara pengambilan doktor-doktor asing untuk berkhidmat di
hospital kerajaan supaya negara tidak rugi dari segi kewangan manakala
rakyat terus mendapat khidmat kesihatan terbaik.
Menurut beliau,
pihak kementerian menyedari perkara tersebut hasil maklum balas
daripada doktor pakar tempatan yang ditugaskan menyelia mereka dalam
tempoh enam bulan sebelum diberi kelayakan merawat pesakit.
``Ada
yang kita terima sebagai pakar tetapi untuk menepati piawaian latihan
bagi doktor pelatih kita pun tidak sampai lagi malah hasil maklum balas
yang diterima daripada penyelia mereka (doktor pakar tempatan) prestasi
mereka adalah lebih rendah daripada doktor junior kita.
``Ada di
kalangan Pembantu Perubatan Kanan kita lebih bagus daripada mereka.
Pada amalannya jika penyelia tidak berpuas hati kerana tidak memenuhi
kriteria dan sekiranya dia pakar kita akan turunkan taraf mereka ke
doktor biasa,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut bersama Pemangku Pengarah
Kesihatan Negeri, Dr. Mohammad Omar ke Hospital Kuala Terengganu (HKT)
di sini hari ini.
Beliau berkata, selain itu kebanyakan doktor
asing juga didapati tidak mempunyai keinginan untuk belajar daripada
penyelia masing-masing kerana merasakan pengetahuan mereka di dalam
bidang tersebut cukup luas sedangkan prosedur perubatan yang mudah
sekali pun tidak boleh dilakukan.
Beliau menambah, pihaknya juga
sedang mengumpulkan laporan-laporan terkini daripada setiap negeri bagi
mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung dengan prestasi
doktor-doktor asing itu.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak
647 doktor asing sama ada pakar atau doktor biasa berkhidmat di negara
ini dari beberapa buah negara seperti India, Pakistan, Bangladesh,
Myanmar, Mesir serta Jordan dan pengambilannya dibuat oleh SPA.
Katanya,
walaupun kementerian tidak menafikan ada doktor asing yang telah
menunjukkan prestasi baik tetapi SPA perlu mengkaji semula cara
pengambilan doktor asing itu kerana prestasi majoriti daripada mereka
adalah di bawah tahap yang dikehendaki.
``Saya sendiri akan
berjumpa dengan Pengerusi SPA, Datuk Abdul Wahab Adam supaya semua
pihak yang terlibat di dalam pengambilan iaitu terdiri daripada SPA,
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta kementerian meneliti semula cara
pengambilan doktor-doktor asing ini.
``Kita adalah pelanggan dan
kita mahukan doktor yang boleh ikut selera kita. Saya akui sekarang ini
banyak masalah yang ditimbulkan oleh mereka termasuk masalah
komunikasi,'' ujarnya.
Berhubung dengan kontrak, beliau berkata,
kontrak perkhidmatan doktor asing adalah selama tiga tahun tetapi
kerajaan boleh menamatkan khidmat mereka jika prestasi yang ditunjukkan
tidak memuaskan meskipun kontrak masih belum tamat.